Berita Hairan Online
BH Edisi Internet

UMNO Akan Aktifkan Jentera Pilihanraya

KUCHING, 10 Nov (Bernama) -- UMNO, satu parti komponen Barisan Nasional (BN), bersedia mengaktifkan jenteranya bagi pilihan raya umum, kata Timbalan Presiden parti itu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, hari ini.

Abdullah berkata parti itu akan menyelaras dengan semua jenteri pilihan raya BN negeri bagi memastikan BN memenangi semua kerusi parlimennya.

"Kami akan memastikan kemenangan semua kerusi termasuk kawasan baru Mambong untuk BN," katanya.

Parlimen akan dibubarkan esok bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-10 negara.

UMNO baru-baru ini berkata ia akan mengekalkan jentera-jentera fitnah, tohmahan, penipuan dan janji-janji palsunya untuk memastikan kemenangan, walaupun di kubu kuat Barisan Alternatif.

Beliau juga berkata bahawa parti-parti pembangkang seperti Parti Keadilan Nasional hanya membuang masa di kawasan luar bandar kerana UMNO telah menyediakan mafia mereka untuk memastikan penipuan semasa pilihanraya umum nanti.

"Dengan adanya balaci-balaci kami yang akan merosakkan undi dan menggunakan pengundi-pengundi hantu, kami akan memastikan kemenangan UMNO dan BN di mana-mana sahaja mereka berada. Malah kalau di situ tidak ada calon UMNO, calon UMNO tetap akan menang juga."

UMNO dan BN yakin dapat mengekalkan kemenangan semua kerusi yang disandang mereka kini, melalui penyelewengan pilihanraya mereka.

"Kami juga telah menyediakan kad-kad pengenalan baru untuk pendatang asing di kawasan-kawasan yang nyata penyokong Barisan Alternatif. Gurkha-gurkha kami akan bekerja keras untuk meramaikan lagi undi UMNO di kawasan-kawasan ini."

"Di samping itu, kami juga menyediakan tabung pembelian undi sebanyak RM 10 juta untuk membeli undi-undi di kawasan-kawasan yang miskin. Walau bagaimanapun, kami tidak menjangkakan taktik ini akan berjaya di Kelantan kerana rakyat Kelantan tidak boleh dibeli."

Mengulas satu pertanyaan mengenai undi pos, Abdullah mengatakan bahawa undi-undi pos akan digunakan dengan begitu meluas sekali pada pilihanraya akan datang kerana dijangkakan akan menjadi sukar bagi calon-calon UMNO menang.

Sambil tersenyum sipu-sipu, Abdullah berkata "Saya pun nak kena beli sepuluh ribu undi pos kalau nak menang di Kepala Batas."

Beliau meminta semua kakitangan parti supaya bekerjasama dengan parti-parti komponen BN lain bagi memastikan kemenangan BN.

OLEH BORHAN NASIR

[ Hompej | Propaganda | Fitnah | Bodek | Statistik Palsu | Sukan | Arkib Seminggu]