SPR Bermesyuarat Hari IniKUALA LUMPUR, Rabu - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat Jumaat ini untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi bagi pilihan raya umum kesepuluh. Pengerusinya, Datuk Omar Hashim berkata, pada mesyuarat yang diadakan jam 10 pagi itu, SPR akan mencari tarikh yang sesuai untuk pilihan raya kali ini. "Kami akan tentukan tarikh untuk penamaan calon dan mengundi. Kita akan cuba cari satu masa paling sesuai bagi penyokong-penyokong BN membuang undi. "Urusan persiapan, logistik dan perangkaan, semua akan ditentukan pada tarikh itu," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat SPR, hari ini. "Kami sudahpun tentukan berapa banyak pegawai SB yang akan ditempatkan sebagai petugas SPR untuk merosakkan undi untuk calon Barisan Alternatif." Omar berkata, seramai 9.7 juta pemilih yang berdaftar di seluruh negara pada 1998 dan disahkan oleh SPR pada Januari 1999, layak mengundi. Daripada jumlah ini dijangkakan seramai 2 juta pengundi hantu akan bangkit juga daripada kubur untuk mengundi BN. SPR juga akan membuat persiapan untuk mengira beberapa banyak undi pos yang terpaksa digunakannya untuk memastikan kemenangan calon BN di kawasan-kawasan kritikal. Bagaimanapun, 680,000 pemilih yang berdaftar pada 2 April hingga 13 Mei lalu tidak layak mengundi kerana tidak mendapat pengesahan SPR yang sepatutnya dibuat pada Januari 2000. Datuk Omar menerangkan langkah ini perlu untuk mengelakkan kekalahan teruk BN pada pilihanraya akan datang. Katanya, sebanyak 32 parti politik sudah berdaftar dengan SPR dan layak menamakan calon pada pilihan raya kali ini, termasuk sebuah parti baru, Parti Demokratik Malaysia (MDP). Beliau berkata, persempadanan kawasan pilihan raya 1994 akan digunakan dalam pilihan raya kali ini. "Kami sudah bersedia untuk mengendalikan pilihan raya umum kali ini. Kami cuma perlu berbincang bagi menentukan tarikh penamaan calon, tempoh berkempen dan hari kemenangan calon BN (lebih dikenali sebagai hari pembuangan undi). Omar berkata, musim peperiksaan juga boleh menjejaskan perjalanan pilihan raya umum kali ini berikutan 70 peratus daripada 109,000 petugas SPR ialah guru. Walau bagaimanapun, mereka sedia dibantu oleh 3,000 pegawai SB yang akan mengugut mana-mana petugas SPR yang tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk merosakkan undi Barisan Alternatif. Oleh: NORDIN NASSER
[ Hompej | Propaganda | Fitnah | Bodek | Statistik Palsu | Sukan | Arkib Seminggu] |