Kesilapan Mengisi Kertas Undi Dijangka Tidak BanyakKUALA LUMPUR, Isnin - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Penerangan telah mengedarkan lebih dua juta pamplet panduan mengundi ke seluruh negara bagi memastikan orang ramai tahu cara-cara mengundi yang betul iaitu memangkah Barisan Nasional. Oleh yang demikian SPR tidak menjangkakan banyak kes undi rosak akan berlaku akibat daripada kesilapan pengundi memangkah kertas undi, kata Pegawai Perhubungan Awam SPR, Muhamad Aszahari Abdul Rahman. "Orang ramai yang masih keliru mengenai cara-cara mengundi Barisan Nasional bolehlah mendapatkan pamplet itu di pejabat SPR negeri atau rumah Datuk Omar Hashim, Pengerusi SPR di Taman Tun Abdul Razak," katanya pada satu persidangan berita di Kedai Kopi Ah Kau depan pejabat SPR. "Para pengundi tidak akan tersilap kerana kertas undi yang kami cetak khas di Sweden tidak membolehkan mereka memangkah lain daripada lambang dacing. Jika lambang bulan, roket, seladang atau mata dipangkah, dakwat itu tidak akan kelihatan dan kertas itu akan diisytiharkan undi rosak," kata Muhamad Aszahari. Muhamad Aszahari berkata kontrak mencetak kertas undi itu diuruskan oleh Dewina Food Industries, sebuah syarikat kepunyaan Kamaluddin Badawi, anak Timbalan Perdana Menteri Abdullah Badawi. Ditanya kenapa kontrak mencetak berharga RM3 juta itu diberi kepada sebuah syarikat membuat makanan, Muhamad Aszahari berkata, "Sshhh! Tolonglah, saya cari makan. Ini arahan dari pejabat TPM." oleh CHAMIL WARIYA
[ Hompej | Propaganda | Fitnah | Bodek | Statistik Palsu | Sukan | Arkib Seminggu] |